Bahaya Kebocoran Gas di Rumah – Apa Perlu Dilakukan Bila Terhidu Bau Gas?

Bahaya Kebocoran Gas di Rumah – Apa Perlu Dilakukan Bila Terhidu Bau Gas?

Hampir setiap rumah di Malaysia menggunakan tong gas untuk memasak. Namun, adakah kita benar-benar tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya tiba-tiba dapur berbau gas akibat kebocoran?

Berikut adalah satu kisah benar yang menjadi pengajaran berguna buat kita semua, dikongsikan oleh netizen di media sosial.

Kejadian Ngeri Akibat Tong Gas Bocor

Seorang lelaki pulang ke rumah pada tengah malam selepas makan malam bersama isteri. Sebaik tiba, dia terhidu bau gas yang memenuhi ruang rumah.

Tanpa berfikir panjang, beliau melangkah ke dapur untuk mencari punca bau. Dalam keadaan separuh sedar, beliau menekan suis untuk menghidupkan lampu dapur.

Letupan berlaku serta-merta.

Akibatnya, suami meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Letupan itu begitu dahsyat sehingga perabot rumah mereka ditemui sejauh 200 meter dari lokasi. Kekuatan letupan itu dikatakan lebih hebat daripada bom kecil.

Apa Perlu Dilakukan Jika Terhidu Bau Gas?

Daripada tragedi ini, ada beberapa pengajaran penting yang boleh menyelamatkan nyawa:

  1. Jangan hidupkan lampu atau suis elektrik.
    Elakkan sebarang tindakan yang boleh menyebabkan percikan api. Sebaliknya, buka semua pintu dan tingkap dengan tenang untuk membolehkan gas tersebar keluar.
  2. Tutup kepala tong gas (valve) dengan segera.
    Hentikan aliran gas daripada terus keluar dengan menutup kepala tong gas secepat mungkin.
  3. Jangan buka peti sejuk atau gunakan exhaust fan.
    Kedua-duanya boleh menghasilkan cas elektrik yang cukup untuk mencetuskan letupan. Biarkan ruang itu pengudaraan secara semula jadi sahaja.
  4. Tunggu sehingga bau gas benar-benar hilang sebelum kembali menggunakan sebarang peralatan elektrik di dalam rumah.

Langkah Pencegahan Tambahan:

  • Periksa kepala gas dan regulator secara berkala.
  • Gunakan sabun untuk kesan kebocoran – sapukan di sambungan dan lihat jika ada gelembung udara.
  • Jangan letakkan tong gas berhampiran sumber haba.
  • Pastikan dapur mempunyai sistem pengudaraan yang baik.

Keselamatan di rumah adalah tanggungjawab kita bersama. Kongsikan maklumat ini agar lebih ramai orang tahu apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan seperti ini.

Sumber: Abu Gen