Cara Melebatkan Bunga Kantan: Potong Dengan Betul Supaya Rajin Berbunga
Pokok kantan antara tanaman yang sering ditanam di halaman rumah kerana banyak kegunaannya dalam masakan seperti laksa, asam pedas, kerabu dan sebagainya. Tambahan pula, harga bunga kantan agak mahal di pasaran — jadi memang berbaloi jika tanam sendiri.
Namun, masalah yang sering dihadapi oleh penanam pokok kantan adalah pokok membesar dengan sihat tapi tidak banyak mengeluarkan bunga. Salah satu sebabnya adalah cara potong bunga kantan yang tidak betul.
Potong Bunga Kantan Sampai Pangkal, Bukan Separuh
Menurut Nur Amirul Nur Azmi, untuk memastikan pokok kantan berbunga dengan lebat, cara memotong bunga kantan yang sudah matang sangat penting.
- Potong bunga kantan sampai ke pangkal tangkai. Ini membantu merangsang pertumbuhan bunga baru.
- Jangan potong di bahagian tengah tangkai. Potongan sebegini akan meninggalkan tunggul yang panjang dan boleh menyebabkan pengeluaran bunga semakin berkurang.
Kaedah ini mungkin nampak remeh, tapi memberi kesan besar terhadap hasil bunga kantan yang akan keluar kemudian.
Tip Tambahan Penjagaan Pokok Kantan
- Potong batang tua atau kuning: Batang pokok yang sudah tua atau condong perlu dipotong dari pangkalnya. Ini akan bantu pengudaraan yang baik dan memperkemaskan pokok.
- Jangan potong batang yang ada bunga: Jika terdapat bunga yang sedang membesar pada batang, biarkan ia tumbuh sepenuhnya. Pemotongan boleh mengganggu tumbesarannya.
- Gunakan semula daun dan batang kering: Letakkan di dasar tanah sekitar pokok sebagai penutup tanah untuk mengekalkan kelembapan. Pokok kantan sangat menyukai kelembapan yang konsisten.
- Penyiraman dan pembajaan: Siram secukupnya dan beri baja organik atau baja bunga secara berkala.
Pokok Kantan Tahan Lasak
Pokok kantan secara semula jadi tahan lasak dan jarang diserang penyakit atau makhluk perosak kerana baunya yang kuat dan tidak disukai serangga.
Dengan penjagaan asas dan teknik yang betul, pokok kantan bukan saja sihat malah akan mengeluarkan bunga dengan lebat dan berterusan.
Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!
Sumber: Nur Amirul Nur Azmi