Cara Tanam Kangkung Tak Jejak Tanah Sesuai Untuk Kediaman Bertingkat
Harga sayur makin naik jadi eloklah kalau kita belajar tanam sayur sendiri di rumah. Takde ruang atau laman pun tak mengapa, boleh tanam cara tak jejak tanah seperti dikongsi oleh Yuziyana Yusop.
Kalau duduk di kediaman bertingkat pun tiada masalah untuk bercucuk tanam cara ini. Boleh mulakan dengan tanam kangkung. Kaedah ini menggunakan mangkuk tapis plastik dan baldi. Langsung tak menggunakan tanah. Lagi bersih kan.
Cara tanam kangkung tak jejak tanah
“Jom tanam kangkung sendiri. Kangkung tapis, kangkung tak jejak tanah namanya. Tiga minggu dan boleh tuai. Satu tapis dapat dalam setengah kilo hasil kangkung. Alhamdulillah.”
Cara-caranya:
- Rendam biji benih selama 32 jam guna air paip. Kalau ada benih yang kembang sangat dalam masa 24 jam boleh asingkan dan letak dalam tapis (boleh terus ke langkah 2).
- Toskan benih lepas rendam kemudian masukkan dalam tapis. Agak-agak saja kuantiti biji benih. Jangan padat sangat, jangan sikit sangat.
- Pastikan guna tapis yang lubangnya kecil sahaja. Jika lubang besar anak kangkung akan bolos nanti. Jika ada benih yang sudah berakar, masukkan akar ke dalam lubang tapis, biarkan ia menjulur.
- Letak tapis atas baldi yang telahpun dimasukkan air paip separas mencecah dasar tapis.
- Tutup tapis berisi benih selama 2-3 hari. Tujuan menutup biji benih adalah untuk menggalakkan anak benih cepat tumbuh.
- Selepas 3 hari anak benih akan tumbuh seperti tauge. Jangan panik, memang betul dah caranya. Waktu ini dah boleh dedahkan kepada cahaya, air dalam takungan tak perlu buang. Boleh tambah baja AB.
- Boleh mula guna baja AB bancuhan 10ml AB + 2L air atau 1.5ec-2ec.
- Hanya pantau air baja dan akar pokok. Tambah air baja bila perlu. Kadar bancuhan baja mulakan daripada 1.5ec minggu 1 (10ml AB + 2L air), 2ec minggu ke-2 (15ml AB + 2L air) dan 3ec minggu ke-3 (20ml AB + 2L air).
- Kangkung boleh dituai bila berumur lebih kurang 3 minggu.
Kaedah ini memang mudah dan sesuai untuk semua terutama yang tinggal di rumah flat atau kondominium. Dengan cara ini, kita dapat tanam sayur segar sendiri tanpa perlu tanah, jimat ruang dan hasilnya juga memuaskan.
Kredit: Yuziyana Yusop