Cara Tanam Kesum Supaya Subur dan Merimbun – Panduan Lengkap


Cara Tanam Kesum Supaya Subur dan Merimbun – Panduan Lengkap

Ramai yang pernah cuba tanam kesum tapi tak menjadi. Tapi ada juga yang tanam sekali, terus hidup subur sampai tak termakan hasilnya. Rahsianya ialah memahami keperluan sebenar pokok kesum.

Melalui perkongsian daripada Alin Lin, berikut adalah panduan menanam kesum supaya subur, rimbun dan boleh dituai berulang kali.

Kenali Jenis Kesum

Tahukah anda ada 2 jenis kesum yang biasa ditanam?

  • Kesum kecil: Suka hidup dalam air, contohnya di parit atau tempat berair. Tidak memerlukan banyak baja dan membiak cepat.
  • Kesum besar: Lebih sesuai ditanam atas tanah. Pokoknya lebih tinggi dan daunnya lebih besar.

Pilih Lokasi yang Sesuai

Kesum suka tempat yang lembap dan sedikit teduh. Tanam di kawasan seperti:

  • Tepi longkang
  • Pinggir rumah di laluan air hujan (cucur atap)
  • Mana-mana kawasan yang tanahnya kekal lembap

Untuk menguji, gali sedikit tanah. Jika terasa lembap di dalam, tempat itu sesuai untuk menanam kesum.

Cara Tanam Kesum Supaya Hidup

  1. Gunakan keratan tua

    Ambil keratan kesum yang tua (keras sedikit) kerana lebih mudah hidup. Tanam berpandukan ruas batang – akar akan tumbuh dari situ.

  2. Tanam 3–4 batang dalam satu lubang

    Jangan tanam sebatang sahaja. Dalam satu lubang, tanam 3 hingga 4 batang kesum. Tapi jangan pula seikat terus, itu terlalu banyak.

  3. Siram pagi dan petang

    Selepas tanam, siram 2 kali sehari. Jika hari hujan, siraman tidak diperlukan. Pastikan tanah sentiasa lembap, bukan basah terendam.

  4. Jangan cabut keratan yang kelihatan mati

    Biasanya tidak semua keratan akan hidup. Jika ada yang nampak hitam atau kering, jangan terus dicabut. Biarkan dulu kerana ada yang akan tumbuh selepas beberapa hari.

Tip Supaya Kesum Lebih Rimbun

Setelah pokok kesum membesar, potong bahagian atas pokok. Ini akan merangsang pertumbuhan daun dan dahan baru. Lagi kerap dipotong, lagi banyak pucuk baru akan keluar.

Cara mudah:

  • Buat jadual potong – setiap minggu potong satu bahagian (secekak).
  • Jangan potong semua sekaligus – takut nanti bila nak guna, pokok belum sempat tumbuh semula.
  • Kalau lebih, boleh sedekahkan kepada jiran atau simpan untuk masakan lain.

Kenapa Kesum Perlu Selalu Dipotong?

Pokok kesum yang dibiarkan tinggi dan rebah boleh mati jika tidak dipetik atau dipotong. Daun dan batang yang tua akan kering, lalu keseluruhan pokok jadi tidak produktif.

Makin kerap kita potong, makin banyak cabang baru tumbuh, dan makin rimbun hasilnya!

Penutup

Menanam kesum sebenarnya mudah jika tahu caranya. Yang penting, pilih lokasi yang lembap, tanam lebih dari sebatang, siram dengan konsisten dan jangan lupa untuk kerap potong.

Sumber: Alin Lin