Cara Tanam Lada Benggala (Capsicum) di Rumah

Cara Tanam Lada Benggala (Capsicum) di Rumah

Capsicum atau lada benggala adalah antara spesies pokok cili yang sering digunakan dalam masakan. Namun tidak seperti cili api, lada benggala jarang ditanam sendiri walaupun cara penanamannya sebenarnya cukup mudah.

Kalau anda sering menggunakan lada benggala dalam masakan, apa kata cuba tanam sendiri di rumah? Anda boleh dapatkan benihnya daripada buah lada yang dibeli di pasar. Caranya dikongsi oleh Jusery Jusin.

Cara Tanam Lada Benggala

Tidak perlu beli benih khas. Cukup gunakan lada benggala yang dibeli di pasar — pilih yang berwarna merah atau kuning, kerana ia sudah matang dan bijinya boleh dicambahkan. Jika tiada, pilih yang hijau gelap.

  1. Potong lada benggala dan ambil bijinya. Bahagian kulit dan isinya boleh dimasak sebagai sayur.
  2. Jemur biji benih selama 2-3 hari. Untuk meningkatkan kadar percambahan, rendam biji benih dalam larutan 100ml air + 0.5ml hidrogen peroksida selama 2 jam sebelum disemai.
  3. Semai dalam tanah campuran. Boleh guna potting soil (6 in 1 atau 3 in 1). Jika mahu buat sendiri, campurkan tanah hitam, kompos, sekam bakar/mentah, dan pasir.
  4. Selepas 3 minggu atau apabila anak pokok mempunyai sekurang-kurangnya 4 daun, pindahkan ke pasu atau polibeg berasingan.
  5. Setelah dipindahkan, buat sungkupan atau lindungi pokok selama 5 hari supaya pokok kuat menyesuaikan diri.
  6. Bila pokok membesar, bajakan dan taburkan garam epsom. Ini membantu daun dan buah kelihatan hijau dan berkilat.
  7. Buat pancang sokongan untuk pokok agar tegak. Buang tunas air yang tidak diperlukan.
  8. Sebaik sahaja pokok berbunga dan mula berbuah, gunakan semburan kawalan perosak untuk elakkan serangan serangga atau penyakit.
  9. Dalam masa lebih kurang 2 bulan, lada benggala akan matang dan sedia untuk dituai. Untuk panduan visual, boleh rujuk video penanaman yang disertakan oleh Jusery Jusin.

Tip Jika Saiz Lada Benggala Kecil

Jika buah yang dihasilkan kecil, boleh cuba langkah-langkah ini untuk bantu pokok menghasilkan buah yang lebih besar:

  • Tuai semua buah yang telah matang.
  • Tabur baja subur atau baja organik.
  • Selepas 2 minggu, tabur baja buah seperti bone meal (organik).
  • Siram dengan rendaman air kulit pisang seminggu sekali.
  • Jika ada, siram juga dengan EM (Effective Microorganisms) ke tanah.

In shaa Allah, hasil akan menjadi lebih besar dan banyak.

Selamat mencuba!

Sumber: Jusery Jusin