Pokok Cili Rosak Sebab Terlebih Baja atau Air? Ini Cara Rawat Supaya Pulih Semula

Pokok Cili Rosak Sebab Terlebih Baja atau Air? Ini Cara Rawat Supaya Pulih Semula

Ramai yang suka tanam pokok cili di rumah, tetapi ramai juga yang menghadapi masalah pokok rosak walaupun sudah dibaja dan disiram. Masalah ini biasanya berlaku di kalangan mereka yang baru belajar bercucuk tanam – belum mahir dengan sukatan baja dan air.

Tanda pokok cili terlebih baja atau air:

  • Daun mula kerinting
  • Pucuk mati atau layu
  • Putik cili rosak dan gugur

Kalau nampak tanda-tanda ini, jangan biarkan. Pokok boleh mati – lebih rugi kalau ia sedang berbuah. Tapi jangan risau, pokok cili yang rosak masih boleh dirawat!

Cara Rawat Pokok Cili Yang Rosak (Perkongsian Mohd Nor)

  1. Buang semua dahan dan daun yang rosak
    Potong sampai ke paras buah cili yang matang. Ini untuk memberi ruang kepada pucuk baru tumbuh dengan sihat.
  2. Sembur kawalan perosak
    Gunakan produk seperti Strex, Brogard, Kitosan atau jenama lain yang sesuai. Ini bantu pertumbuhan pucuk dan halang serangan perosak.
  3. Rehatkan pokok selama 2–3 hari
    Jangan siram. Biarkan tanah kering sedikit dan letakkan pokok di kawasan yang dapat cahaya matahari penuh.
  4. Hari ke-4 dan ke-5: Siram dengan air biasa sahaja (tanpa baja).
  5. Hari ke-6: Siram dengan baja AB pada kadar rendah – sekitar 100ppm. Teruskan selama 5–6 hari.
  6. Kawal kelembapan & kepekatan baja
    Jangan terlalu teruja nak cepat dapat hasil. Baja terlalu pekat boleh rosakkan pucuk dan akar pokok.
  7. Jika bunga gugur dan tak menjadi buah – itu tanda baja kurang. Tambahkan baja sedikit demi sedikit, bukan sekaligus.
  8. Buang daun tua
    Bena putih suka menyerang daun-daun tua, terutama yang dekat dengan buah cili. Buang daun tersebut untuk kurangkan serangan dan pastikan pokok dapat resap baja dengan baik.

Hasil Selepas Rawatan

Selepas dahan dan daun rosak dibuang, pucuk baru akan mula tumbuh. Pokok akan kembali subur jika penjagaan diteruskan dengan betul. Perlu sabar dan konsisten.

INFO: Di ladang komersial, pokok yang rosak begini biasanya dibuang saja kerana banyak pokok lain. Tapi untuk kita yang tanam di rumah, jangan buang! Rawat dan belajar – itu lebih berbaloi.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Mohd Nor

#TanamCili #RawatPokokRosak #TipBerkebun #CiliSubur #PertanianBandar