Self Watering System Bajet untuk Tanaman Semasa Balik Kampung
Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, ramai yang akan pulang ke kampung dan meninggalkan rumah untuk tempoh yang agak panjang — biasanya sekitar seminggu. Bagi mereka yang mempunyai tanaman di rumah, ini sering menimbulkan kerisauan kerana bimbang tanaman akan layu atau mati akibat tidak disiram.
Sebagai langkah pencegahan, anda boleh menyediakan self watering system secara bajet untuk memastikan tanaman kekal lembap walaupun ditinggalkan. Kaedah ini sangat sesuai jika jumlah tanaman anda tidak banyak dan tidak memerlukan kos yang tinggi.
Tip Supaya Tanaman Tak Layu Bila Cuti Raya
Bahan Diperlukan:
- Botol air mineral, botol minyak, atau bekas plastik lain
- Jarum (untuk menebuk lubang)
- Air
Cara Buat Self Watering System Bajet
- Ambil botol atau plastik dan tebuk lubang kecil menggunakan jarum. Lubang perlu cukup halus supaya air hanya menitis perlahan-lahan.
- Isi bekas tersebut dengan air hingga penuh dan tutup penutupnya.
- Letakkan botol atau plastik yang telah ditebuk tadi berdekatan pangkal tanaman. Titisan air dari lubang kecil akan membantu melembapkan tanah secara perlahan-lahan.
- Untuk tempoh lebih lama, gunakan botol minyak yang lebih besar kerana ia lebih kukuh dan tidak mudah terbalik.
- Periksa kandungan air sebelum balik kampung. Isi semula jika perlu.
- Alternatif lain, anda juga boleh membeli alat penyambung untuk self watering system yang boleh dipasang pada botol biasa. Alat ini boleh didapati di platform seperti Shopee.
Kaedah ini telah dikongsikan oleh Shidee Roshadi dan terbukti berkesan untuk menjaga tanaman seperti anak pokok mangga dan kuinin semasa ditinggalkan hampir seminggu.
Semoga bermanfaat dan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri!
Sumber: Shidee Roshadi