Tanam 8 Pokok Sayur Guna 1 Botol Sabun – Jimat Ruang & Kos!
Bagi anda yang minat bercucuk tanam tapi ruang rumah terhad, teknik kreatif yang dikongsi oleh Iszaynuddin Abd. Hamid ini memang patut dicuba. Hanya menggunakan semula botol sabun pencuci, anda boleh tanam hingga 8 pokok sayur dalam satu botol!
Cara ini bukan saja jimat ruang, malah jimat kos kerana tidak perlu beli banyak pasu. Sesuai sangat untuk tanam sayur secara menegak di balkoni, koridor, atau sudut sempit rumah.
Bahan Diperlukan:
- Botol sabun pencuci (plastik)
- Pisau
- Soldering iron (pemateri)
- Botol kaca (sebagai acuan muncung)
Cara Membuat Bekas Tanaman:
- Cuci bersih botol sabun dan potong bahagian atas menggunakan pisau yang telah dipanaskan terlebih dahulu.
- Gunakan soldering iron untuk buat lubang di bahagian bawah botol bagi pengaliran air keluar.
- Lakar 7 garisan lurus di beberapa bahagian sisi botol. Ini akan jadi panduan untuk potongan lubang tanaman.
- Panaskan pisau atas dapur, kemudian potong ikut garisan yang telah dilakar.
- Panaskan kawasan potongan tadi agar plastik lembut dan mudah dibentuk.
- Masukkan muncung botol kaca ke lubang tadi untuk membentuk poket tanaman.
- Segera lalukan bahagian tersebut di bawah air paip supaya keras semula dan kekal bentuk.
- Ulang proses ini hingga terhasil 7 lubang pada sisi botol. Lubang ke-8 adalah ruang terbuka di bahagian atas botol.
INFO Penanaman:
- Semai biji benih di tempat semaian dahulu.
- Bila anak pokok ada 4-5 helai daun, barulah dipindahkan ke botol sabun tadi.
- Letak di tempat teduh selama seminggu untuk pemulihan sebelum pindahkan ke kawasan yang terima cahaya penuh.
Dengan teknik ini, satu botol boleh menyokong 8 pokok sayur – sesuai untuk tanaman seperti sawi, bayam, salad, kangkung dan sebagainya.
Selamat mencuba dan selamat bercucuk tanam!
Sumber: Iszaynuddin Abd. Hamid