Tanam Kailan Sendiri di Rumah, 4-7 Minggu Dah Boleh Tuai!
Memang berbaloi tanam kailan sekarang, lebih-lebih lagi waktu harga sayur tengah naik. Kailan ini bukan saja mudah bercambah, malah sangat senang dijaga – sesuai ditanam di rumah walaupun ruang terhad.
Boleh tanam dalam pasu, polibeg, atas tanah, atau guna kaedah hidroponik. Paling menarik, dalam masa 4 hingga 7 minggu selepas semai, anda dah boleh tuai dan masak sendiri — tak payah lagi order kailan ikan masin RM15 sepinggan di restoran!
Langkah Mudah Tanam Kailan
- Semai biji benih: Letakkan biji benih kailan dalam tray semaian atau terus dalam polibeg. Media semaian seperti peat moss amat digalakkan.
- Percepatkan percambahan: Tutup tray semaian dengan plastik hitam atau letakkan di tempat gelap untuk galakkan percambahan. Dalam masa 3-4 hari anak benih akan muncul.
- Alih ke pasu/polibeg/tanah: Bila anak benih sudah ada 4 helai daun, boleh dipindahkan. Kailan sangat sesuai ditanam di tanah tinggi kandungan organik.
- Pastikan kelembapan tanah: Selepas alih, tutup tanah di sekeliling anak pokok dengan cocopeat, lalang kering, atau rumput untuk kekalkan kelembapan.
- Siram 2 kali sehari – pagi dan petang.
Masa Tuai Kailan
Sayur kailan boleh dituai seawal 4 hingga 7 minggu selepas disemai. Waktu ini sayur masih lembut, segar dan sedap dimasak.
Petua Penjagaan Kailan
- Siram menggunakan air basuhan beras – bagus untuk pertumbuhan sayur.
- Gunakan baja tahi ayam sebagai baja organik utama.
- Jangan cabut pokok bila tuai! Sebaliknya potong daun kailan dan tinggalkan 1-2 helai daun pada pokok. Ini akan bantu pokok tumbuh semula (teknik cut-and-come-again).
- Dengan teknik ini, satu pokok boleh dituai hingga 5 kali!
Jadi, jika anda baru nak mula bercucuk tanam, kailan memang sayur yang paling sesuai. Jimat, segar, dan berkhasiat!
Sumber: myagri.com.my & Facebook Berkebun D Rumah