Tip Alih Anak Pokok Supaya Tak Stres dan Bantut – Elak Kesilapan Biasa
Ramai yang mula teruja bercucuk tanam, lebih-lebih lagi bila biji benih yang disemai mula bercambah dan menjadi anak pokok. Namun, semangat boleh luntur apabila anak pokok yang dialih ke tempat baru tak membesar, malah bantut atau mati.
Kalau perkara ini berlaku, besar kemungkinan ia berpunca daripada cara alih anak pokok yang salah. Berdasarkan pengalaman, D’Pro A’nas berkongsi beberapa tip penting yang boleh membantu memastikan anak pokok terus hidup dan subur selepas dipindahkan.
Tip Alih Anak Pokok Supaya Subur
Berikut adalah langkah-langkah yang disarankan:
-
Sediakan tanah baru lebih awal
Pastikan media atau tanah tempat baru telah digemburkan dan disuburkan. Gunakan tanah campuran yang baik agar anak pokok mudah menyesuaikan diri.
-
Lembapkan tanah semaian
Siram tanah tempat anak pokok berada supaya lebih lembap. Ini memudahkan proses mencabut anak pokok nanti dan mengurangkan risiko akar rosak.
-
Tunggu sehingga ada sekurang-kurangnya 4 helai daun
Bila anak pokok sudah ada 4 daun, ia lebih stabil untuk dialih. Cabut perlahan-lahan, sebaiknya bersama dengan sedikit tanah asal. Elakkan akar putus kerana akar yang tercedera boleh menyebabkan pokok stres dan tidak membesar dengan baik.
-
Tanam ke dalam tanah baru dan padatkan
Letakkan anak pokok ke dalam tanah baru, timbus akar dan tekan sedikit supaya tanah padat. Elakkan ruang kosong sekitar akar kerana ia boleh menyebabkan pokok sukar menyerap air dan nutrien, sekaligus menyebabkan stres atau mati.
-
Siram setiap pokok selepas tanam
Setiap kali selesai tanam satu anak pokok, terus siram dengan air. Jangan tunggu semua selesai baru siram. Ini penting untuk kurangkan kejutan dan stres pada pokok.
Waktu Terbaik Untuk Alih Anak Pokok
Waktu yang paling sesuai untuk mengalihkan anak pokok ialah antara:
- 4:30 petang hingga senja
Kenapa? Sebab pada waktu ini cuaca lebih sejuk, kurang pancaran matahari dan pokok ada masa untuk menyesuaikan diri semalaman sebelum berdepan cahaya matahari pada keesokan hari.
Jika dialih pada waktu pagi atau tengah hari, pokok lebih mudah mengalami stres, layu atau mati kerana panas dan cahaya matahari yang terik.
Kesimpulan
Proses mengalih anak pokok nampak mudah, tetapi jika tidak dibuat dengan betul, ia boleh memberi kesan besar kepada tumbesaran pokok. Pastikan anda ikut tip ini untuk hasil tanaman yang lebih sihat dan subur.
Sumber: D’Pro A’nas