Tip Bancuh Simen Untuk DIY Kerja Rumah: Ikat Bata, Plaster, Render & Konkrit

Tip Bancuh Simen Untuk DIY Kerja Rumah: Ikat Bata, Plaster, Render & Konkrit

Ramai yang ada sedikit kemahiran dan minat dalam kerja-kerja DIY rumah. Untuk jimat kos, mereka pilih buat sendiri projek kecil seperti simenkan lantai, naikkan tembok, atau tambah ruang dapur. Tapi, untuk hasil yang kukuh dan tahan lama, bancuhan simen mesti dibuat dengan betul.

Berikut adalah panduan bancuh simen yang dikongsi oleh Lang Buana — sesuai untuk ikat bata, plaster, render dan kerja konkrit:

1. Gunakan Mixer (Pengadun)

  • Masukkan air dahulu, kemudian diikuti dengan simen.
  • Selepas itu, baru masukkan pasir kasar dan batu 3/4 jika nak buat konkrit.

2. Jika Pasir Basah

  • Elakkan masukkan air mengikut sukatan asal jika pasir basah (lepas hujan).
  • Masukkan air sedikit demi sedikit untuk elakkan campuran terlalu cair.

3. Rule of Mixing (Nisbah Campuran)

  • Nisbah biasanya ikut berat: contoh 1kg simen + 4kg pasir kasar untuk ikat bata.
  • Secara praktikal, boleh guna 1 skop simen + 4 skop pasir kasar sebagai anggaran mudah.

4. Jenis Pasir Mengikut Kerja

  • Pasir kasar: Untuk ikat bata dan kerja konkrit – lebih kuat dan tahan lama.
  • Pasir halus: Hanya untuk kerja plaster (kemasan) kerana ia kurang grip jika digunakan untuk ikat bata.

5. Cara Bancuh Simen (Tanpa Mixer)

  • Elakkan bancuh di atas tanah (ground mixing), susah kawal air & tenaga lebih banyak digunakan.
  • Bancuh dalam kereta sorong lebih mudah:
    • Masukkan pasir dahulu, kemudian simen.
    • Gaul rata sebelum tambah air sedikit demi sedikit.
    • Jika guna batu 3/4, masukkan selepas campuran simen, pasir dan air telah sebati. Tambah air lebih sedikit supaya campuran mesra dengan batu.

6. Mortar Yang Baik Agak Cair

  • Mortar atau konkrit yang baik adalah agak cair, bukan terlalu likat atau kering.
  • Air tidak menjejaskan kekuatan simen — ia akan hilang melalui proses pengeringan dan pengeluwapan.
  • Kontraktor kadang lebih suka campuran cepat kering, tapi hakikatnya konkrit yang mengeras perlahan lebih kuat.

INFO TAMBAHAN: Nisbah Bancuhan Konkrit Mengikut Gred

Nisbah bancuhan konkrit penting kerana ia tentukan kekuatan struktur. Berikut ialah gred yang biasa digunakan:

Gred Nisbah (Simen : Pasir : Batu)
G15 1 : 3 : 6
G20 1 : 2 : 4
G25 1 : 1.5 : 3
G30 1 : 1 : 2

Untuk kerja biasa seperti lantai konkrit atau ruang belakang rumah, gred G20 (1:2:4) adalah cukup. Tapi untuk struktur lebih berat, disyorkan guna G25 (1:1.5:3).

Contoh Sukatan untuk G20:

  • 1 kg simen : 2 kg pasir : 4 kg batu
  • Untuk 1 beg simen (50kg): 100kg pasir + 200kg batu
  • Jumlah air: Antara 25 – 28 liter
  • 1 kg simen ≈ 0.55 liter air → 50kg x 0.55 = 27.5 liter air

Kesimpulan

Mengetahui cara bancuh simen dengan betul amat penting untuk kerja DIY rumah. Sama ada nak ikat bata, buat lantai atau plaster dinding — bancuhan yang betul akan hasilkan kerja yang tahan lama dan selamat.

Semoga bermanfaat kepada semua DIYer di luar sana!

Kredit: Hassan Hardware, Jamal The Solo Builders
Sumber: Lang Buana