Tip Tanam Kucai Supaya Cepat Membiak & Daunnya Subur

Tip Tanam Kucai Supaya Cepat Membiak & Daunnya Subur

Tanam kucai di rumah memang berbaloi kerana ia antara sayur yang mudah dijaga dan cepat dituai. Namun, jika anda ingin pokok kucai cepat membiak dan daunnya lebih ‘gemuk-gemuk’, ada beberapa teknik penting yang perlu diketahui.

Sebelum itu, penting juga untuk tahu cara asas menanam kucai. Cara paling mudah adalah dengan menggunakan ubi kucai. Berikut adalah panduan dan tip yang dikongsi oleh Yuziyana Yusop.


Cara Tanam Kucai Guna Ubi

  1. Benamkan ubi kucai dalam tanah hitam yang subur.
  2. Pastikan sedikit batang kucai dibiarkan terkeluar dari permukaan tanah.
  3. Siram dan letak di kawasan redup selama 1-2 minggu.
  4. Selepas itu, dedahkan kepada cahaya matahari penuh – dari pagi sampai petang. Kucai sangat suka cahaya matahari penuh.

Penjagaan Harian Supaya Daun Kucai Gemuk & Subur

  • Siram 2 kali sehari – pagi dan petang.
  • Letak baja organik 3 kali sebulan. Antara baja sesuai:
    • Baja kopi
    • Baja soya
    • Tahi ayam
    • Tahi kambing
  • Jangan takut untuk tuai – semakin kerap dipotong, semakin gemuk dan subur daun kucai akan tumbuh.

Bila Waktu Sesuai Tuai Daun Kucai?

  • Seawal 3–4 minggu selepas semai, sudah boleh kerat daun kucai pertama.
  • Musim panas: Tuai setiap 3–4 minggu.
  • Musim hujan: Daun cepat panjang, boleh tuai setiap 2 minggu.

Cara Biakkan Kucai & Galakkan Tumbesaran

  • Letak pasu kucai di tempat teduh jika mahu cepat membiak (keluar banyak anak pokok).
  • Daun dari tempat teduh lebih halus, jadi apabila sudah banyak anak, alihkan ke tempat panas untuk daun yang lebih besar dan gemuk.
  • Pokok kucai yang terdedah kepada panas lebih gemuk tetapi sedikit lambat membiak.
  • Apabila sudah penuh, pecahkan rumpun dan tanam semula dalam pasu atau polibeg lain.

Kesimpulan: Pokok kucai sangat mudah dijaga dan cepat membiak jika teknik yang betul digunakan. Kunci utama adalah siram konsisten, cukup matahari, dan jangan takut untuk tuai.

Sumber: Yuziyana Yusop