Cara Buat Pokok Jambu Madu Tanam Dalam Pasu Cepat Berbunga & Berbuah

 



Cara Buat Pokok Jambu Madu Tanam Dalam Pasu Cepat Berbunga & Berbuah

Pokok jambu madu memang semakin popular ditanam di rumah, terutama dalam pasu kerana mudah dijaga dan cepat membesar. Tapi ada juga yang mengadu pokok sudah besar dan subur, tapi masih belum berbunga atau berbuah.

Kalau anda menghadapi masalah yang sama, boleh cuba teknik penjagaan pokok jambu madu yang dikongsikan oleh Mark Are Leaf. Beliau berkongsi langkah-langkah mudah untuk bantu pokok berbunga dan seterusnya berbuah dengan lebat.

Langkah-Langkah Agar Pokok Jambu Madu Cepat Berbunga

  1. Buang ranting halus yang tidak perlu. Dahan-dahan kecil yang tidak produktif hanya menyerap baja dan melemahkan pokok. Potong dan bersihkan.
  2. Baja buah secara berkala. Gunakan baja buah seminggu sekali selama 2 bulan untuk bantu pembentukan bunga.
  3. Pruning atau cantas pucuk muda. Apabila pokok dah subur, pangkas pucuk muda dan biarkan hanya dahan tua sahaja. Ini bantu fokus tenaga pokok untuk berbunga.
  4. Kurangkan daun pada pokok. Buang separuh daun supaya pokok dapat cahaya dan pengudaraan yang cukup. Terlalu banyak daun akan menyebabkan pokok hanya fokus membesar tanpa berbunga.
  5. Pokok akan mula berbunga. Selepas langkah di atas, biasanya pokok akan mula keluarkan bunga.
  6. Jangan letak baja semasa bunga keluar. Berhenti baja sehingga bunga bertukar jadi putik buah dan bulu-bulu bunga luruh sepenuhnya.
  7. Mulakan semula baja selepas putik terbentuk. Letak baja buah secukupnya hingga buah matang. Jangan lupa balut buah untuk elak serangan serangga atau berulat.
  8. Guna baja foliar (semburan daun). Baja foliar membantu buah jadi lebih besar, elok dan masak sempurna. Gunakan secara berkala sepanjang tempoh buah membesar.

Tip Tambahan:

Kalau nak gandakan pokok, boleh juga buat teknik tut (layering) pada setiap dahan sebelum dipotong. Ini cara mudah untuk membiakkan pokok dari induk yang subur dan produktif.

Selamat mencuba teknik ini dan semoga pokok jambu madu anda mula berbunga dan mengeluarkan buah yang lebat!

Sumber: Mark Are Leaf