Cara Mudah Pasang Mirror Sticker pada Tingkap Nako untuk Privasi dan Tampilan Baru
Tingkap nako biasanya terdapat pada rumah yang sudah berusia. Walaupun ada yang kata ia tidak lagi trend, sebenarnya tingkap nako kini kembali mendapat perhatian terutama pada rumah dengan konsep industri dan minimalis.
Bagi anda yang masih menggunakan tingkap nako, jangan risau kerana ia masih mempunyai nilai estetika yang unik. Seperti yang dikongsikan oleh Pn Suhana Mat Rasau, dengan kos yang murah dan cara yang mudah, anda boleh naik taraf tingkap nako supaya nampak lebih moden dan mengekalkan privasi dengan menggunakan mirror sticker.
Bahan-bahan Diperlukan:
- 1 gulung Mirror sticker (saiz 90cm x 2cm, harga sekitar RM23.50)
- Air bercampur sabun
- Gunting atau pisau
- Pen marker
Cara-cara Pasang Mirror Sticker pada Tingkap Nako:
- Keluarkan cermin dari bingkai tingkap dan cuci bersih. Pastikan kering sepenuhnya.
- Letakkan cermin di atas gulungan mirror sticker, lukis bentuk cermin menggunakan marker pen sebagai panduan.
- Potong mirror sticker mengikut ukuran yang telah ditandakan.
- Basahkan cermin dengan air bercampur sabun sedikit.
- Tanggalkan plastik pelindung nipis dari mirror sticker yang telah dipotong.
- Tempelkan mirror sticker pada cermin yang licin dan rata. Gunakan kain untuk menolak dari tengah ke tepi bagi menghilangkan gelembung udara.
- Letakkan kembali cermin yang telah siap dilekatkan mirror sticker ke dalam bingkai tingkap.
Dengan cara ini, tingkap nako anda bukan sahaja kelihatan lebih moden dan cantik, malah privasi penghuni rumah juga lebih terjaga kerana orang luar tidak dapat melihat terus ke dalam rumah.