Kenapa Pokok Sayur Mati Awal? Ini 6 Punca Yang Ramai Tak Sedar
Ramai yang teringin bercucuk tanam di rumah, tetapi kecewa bila sayur yang ditanam tak sempat besar sudah layu dan mati. Walaupun benih bercambah dan tumbuh, bila dialih atau dibaja, pokok terus merajuk dan tak mahu hidup.
Kalau anda pernah alami situasi ini, jangan terus putus asa. Menurut Puan Liyana Poad, kemungkinan besar ada beberapa kesilapan yang sering berlaku tanpa kita sedar. Jom semak satu per satu!
1. Membaja Anak Pokok Yang Belum Matang
Kesilapan biasa ialah memberi baja terlalu awal pada anak pokok. Akibatnya:
- Daun melecur seperti terbakar
- Daun bertukar kuning, kemudian layu dan gugur
Cara atasi: Siram anak pokok dengan banyak air untuk menyahkan lebihan baja dari tanah.
2. Meletakkan Baja Terlalu Banyak
Ramai sangka lebih baja = lebih subur. Hakikatnya, pokok boleh 'terbakar' jika terlebih baja.
- Baja NPK: Hanya perlukan sesudu kecil makan atau kurang daripada 15 butir baja
- Baja organik: Bergantung kepada jenis, biasanya 1 sudu kecil atau 1 sudu besar makan
3. Terlalu Sering Siram Air
Air memang penting, tetapi berlebihan boleh memudaratkan:
- Akar pokok membusuk
- Tanah menjadi berlendir
- Kulat & penyakit tanah mudah menyerang
- Menarik semut, anai-anai dan ulat halus
Cara atasi: Tukar kepada tanah baru jika sudah terlalu terjejas.
4. Guna Pasu atau Polibeg Terlalu Kecil
Pokok perlu ruang akar yang mencukupi untuk membesar. Jika ruang sempit:
- Akar tidak dapat bergerak dengan baik
- Pengudaraan dalam tanah menjadi terhad
- Pertumbuhan pokok terbantut
5. Tanah Terlalu Sedikit Dalam Pasu
Untuk pokok berakar tunjang (akar menjalar ke bawah), jumlah tanah sangat penting. Jika tanah sedikit:
- Akar tak cukup ruang untuk membesar
- Pokok menjadi lemah dan cepat mati
Tip: Pastikan tanah diisi hingga hampir penuh pasu atau polibeg.
6. Tidak Membuang Daun Tua Di Bawah Cabang Y
Daun-daun lama di bawah cabang Y menyerap banyak nutrien. Akibatnya:
- Nutrien tidak sampai ke bunga dan buah
- Pokok kurang produktif
Tip: Kerap buang daun lama agar tenaga pokok tertumpu pada pertumbuhan buah dan bunga.
Kesimpulan: Tanam pokok sayur bukan sekadar siram dan tunggu. Fahami keperluan asas pokok dan elakkan kesilapan di atas. Sedikit ilmu & perhatian boleh membantu tanaman tumbuh subur dan hasilnya dapat dinikmati.
Sumber: Puan Liyana Poad