Petua Orang Lama: Hari Sesuai Tanam Pokok Mengikut Kalendar Islam


Petua Orang Lama: Hari Sesuai Tanam Pokok Mengikut Kalendar Islam

Dalam dunia moden hari ini, ramai antara kita menekankan benih berkualiti, penjagaan rapi dan penggunaan baja yang betul untuk memastikan tanaman menjadi subur dan hasilnya lumayan.

Namun, bagi orang tua-tua zaman dahulu, ada satu lagi perkara penting yang mereka ambil kira – iaitu pemilihan hari menanam mengikut kalendar Islam. Ini adalah petua lama yang masih diamalkan oleh sesetengah orang kampung hingga ke hari ini.

Tanam Pokok Ikut Hari – Petua Tradisional Yang Masih Relevan

Menurut perkongsian daripada Wadi Idris, ayahnya masih mengamalkan petua ini sejak dahulu lagi. Beliau tidak akan menanam pokok secara sebarangan hari, sebaliknya akan merujuk kepada kiraan hari dalam kalendar Hijrah.

Setiap 1 hingga 4 haribulan dalam bulan Islam dikaitkan dengan bahagian tertentu pada tumbuhan:

  • 1 haribulan (Hari Akar) – Sesuai tanam keledek, keladi, ubi kayu dan tanaman berakar lain.
  • 2 haribulan (Hari Batang) – Tanam pokok seperti tebu, serai dan tanaman batang.
  • 3 haribulan (Hari Daun) – Tanam sayur berdaun seperti sawi, bayam, kangkung.
  • 4 haribulan (Hari Buah) – Sesuai untuk tanam pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan, ciku dan seumpamanya.

Selepas hari ke-4, kitaran ini akan berulang semula mengikut urutan (akar, batang, daun, buah).

Contoh Amalan: 16 Zulkaedah Jatuh Hari Buah

Dalam catatan beliau, Wadi berkongsi bahawa pada 16 Zulkaedah baru-baru ini yang jatuh pada hari buah, ayah dan ibunya menanam pokok buah-buahan di kebun. Menurut ibunya, "Kami tanam ni buat anak cucu makan nanti."

Abah Wadi telah lama mengusahakan kebun, dusun, kebun getah dan bendang. Hasilnya menjadi subur kerana selain teknik biasa, beliau masih mengikut petua dan amalan turun-temurun ini.

Kesimpulan

Amalan ini menunjukkan betapa orang dulu sangat menghargai alam dan mengikut rentak semulajadi ciptaan Tuhan. Walaupun hidup di zaman moden, tidak salah untuk kita cuba praktikkan petua orang lama dalam usaha bercucuk tanam.

Semoga bermanfaat dan menjadi panduan buat generasi kita seterusnya.

Sumber: Wadi Idris