7 Tip Potong Rumput Guna Mesin Rumput – Mudah Untuk Laman Luas!
Potong rumput di laman atau kebun yang luas memang mencabar, lebih-lebih lagi jika rumput sudah panjang dan semak. Kalau dibiarkan lama, kerja akan jadi lebih leceh. Tapi jangan risau, dengan teknik dan alatan yang betul, kerja potong rumput boleh jadi lebih cepat dan selamat.
Berikut ialah 7 tip berguna yang dikongsi oleh Airiel Ibnu Sufian untuk anda yang nak mula ‘misi’ bersihkan laman sendiri menggunakan mesin rumput:
1. Bila Patut Guna Tali/Nylon?
- Gunakan tali nylon untuk potong rumput biasa atau rumput tebal yang tidak melepasi paras lutut.
- Kalau kawasan hanya ada rumput lembut atau rumput liar, tali nylon sudah memadai.
- Elak guna nylon untuk semak berkayu – lebih sesuai guna mata pisau.
- Ada banyak jenis tali nylon – cuba dan sesuaikan dengan mesin & cara kerja anda.
2. Kelebihan Guna Tali/Nylon
- Mudah potong rumput di tempat sempit seperti pangkal pokok, tepi dinding dan celah-celah bucu.
- Kurang merosakkan objek sekeliling (tetapi tetap perlu berhati-hati).
3. Bila Patut Guna Mata Pisau?
- Untuk semak samun tebal, rumput tinggi atau tumbuhan berkayu.
- Mata pisau lebih efisien untuk kerja tebasan berat dan tahan lasak.
4. Mata Pisau Biasa (Tak Lebar)
- Sesuai untuk semak berkayu yang tidak terlalu besar.
- Murah (sekitar RM10 ke bawah), tapi mudah bengkok dan sumbing.
- Anggap sebagai pakai buang untuk kerja kasar satu kali.
5. Mata Pisau Tebal & Lebar
- Sesuai untuk semak tinggi paras peha dan batang kayu bersaiz besar (contoh: batang ubi kayu).
- Sangat kuat – tapi awas, jika sumbing, ia boleh melantun serpihan batang kayu ke arah kaki!
- Guna dengan berhati-hati dan pastikan pakai pakaian keselamatan (sarung kaki & pelindung betis).
6. Mata 3 (Bentuk Bintang)
- Ini kategori ‘otai’ – sangat berkuasa dan sesuai untuk semua jenis semak.
- Boleh memotong hampir semua jenis rumput dan kayu sederhana.
- Tapi, ia juga lebih agresif – hanya guna jika anda sudah mahir.
7. Mata Bulat (Seakan Circular Saw)
- Kurang sesuai untuk potong rumput biasa atau semak rendah.
- Lebih sesuai untuk tebang buluh atau kayu ringan.
- Namun, ia boleh berbahaya jika tidak dikawal – pastikan tiada orang berhampiran semasa digunakan.
Tip Akhir
Lepas selesai kerja, rasa badan ketar satu badan itu perkara biasa. Bila dah biasa guna mesin rumput, ketar tu makin kurang. Yang penting, guna alat yang betul dan utamakan keselamatan.
Semoga bermanfaat dan selamat mencuba!
Sumber: Airiel Ibnu Sufian