Cara Mudah Pindahkan Pokok Dari Pasu Kecil ke Pasu Lebih Besar Tanpa Susah Hati
Pokok-pokok yang ditanam dalam pasu di laman rumah apabila semakin membesar memerlukan ruang yang lebih selesa. Ini penting supaya akar pokok dapat ‘bernafas’ dengan lebih baik dan membantu tumbesaran pokok secara optimum. Salah satu cara mudah ialah memindahkan pokok ke pasu yang lebih besar atau menanam terus ke dalam tanah.
Namun begitu, kebiasaannya memindahkan pokok dari pasu kecil ke pasu lebih besar agak sukar kerana tanah di dalam pasu lama sudah padat dan keras. Cara biasa yang sering dilakukan adalah dengan mengorek tanah sedia ada, tetapi ini memakan masa dan tenaga.
Sebenarnya ada cara yang lebih mudah dan praktikal untuk memindahkan pokok ke pasu baru tanpa perlu mengorek tanah secara berlebihan atau memecahkan pasu lama. Malah, anda boleh menggunakan semula pasu lama dengan lebih efektif.
Bahan Diperlukan:
- Tong cat atau baldi besar
- Air secukupnya
- Tanah
- Pasu kecil dan pasu besar
- Leca ball (boleh juga gunakan kerikil atau batu kecil sebagai alternatif)
Cara Membuat dan Memindahkan Pokok:
- Isikan tong cat atau baldi dengan air sehingga penuh.
- Masukkan pasu berisi pokok kecil ke dalam tong atau baldi tersebut. Pastikan tanah dalam pasu terendam sepenuhnya dalam air. Biarkan selama beberapa minit.
- Keluarkan pasu bersama pokok dari air tersebut.
- Ketuk-ketuk perlahan pasu untuk melonggarkan tanah dalam pasu tersebut supaya pokok mudah dikeluarkan.
- Sediakan pasu yang lebih besar, isikan tanah sehingga separuh penuh.
- Masukkan pasu kecil yang mengandungi pokok tadi ke dalam pasu besar dan tekan sedikit agar membentuk ‘cetakan’ tanah.
- Keluarkan pasu kecil dan tanam pokok ke dalam tanah yang telah dicetak tadi di dalam pasu besar.
- Isikan tanah yang kosong di sekeliling pokok dan ratakan dengan kemas.
- Taburkan Leca ball pada permukaan tanah sebagai penutup. Ia berfungsi untuk menyimpan air dan juga memberi tampilan yang lebih kemas dan cantik pada pasu.
- Siram pokok seperti biasa dan letakkan di tempat sesuai.
Siap! Pokok anda kini berjaya dipindahkan dengan mudah dan selesa tanpa perlu bersusah payah mengorek tanah atau memecahkan pasu lama.
Semoga bermanfaat! Selamat mencuba.