Cara Tanam Kubis Dalam Pasu – Cantik, Berbaloi & Mudah Dijaga
Pokok kubis bukan sekadar sayur untuk dimakan, malah ia juga boleh menjadi penyeri laman rumah. Bila pokok kubis membesar dan membulat, bentuknya yang kemas dan rapi menjadikan ia menarik sebagai elemen hiasan taman dapur.
Tak susah pun nak tanam. Ikuti panduan Cik Hariza Amrry ini untuk belajar cara tanam kubis dalam pasu, dari semaian benih hingga ke penuaian.
Langkah Demi Langkah Tanam Kubis Dalam Pasu
Langkah 1: Dapatkan Anak Benih
Anda boleh beli anak benih kubis di nurseri atau secara online. Jika ingin lebih jimat, boleh mula dari biji benih sendiri.
Langkah 2: Cambahkan Biji Benih
- Sediakan dulang semaian atau bekas kecil dan isi dengan tanah.
- Masukkan biji benih sedalam ½ inci.
- Letakkan di tempat teduh yang masih dapat cahaya matahari.
- Boleh juga tabur terus, insya-Allah tetap tumbuh.
Langkah 3: Sediakan Media Tanam
Gunakan tanah yang kaya nutrien dan gembur. Campuran tanah terbaik:
- 2 bahagian tanah lom
- 1 bahagian kompos
- 1 bahagian pasir sungai
Gaulkan media ini hingga sekata.
Langkah 4: Pindahkan Anak Semai
Bila anak pokok ada 2–3 helai daun pucuk (dalam 2 minggu), pindahkan ke dalam pasu besar atau bekas yang cukup dalam dan lebar.
Langkah 5: Proses Menanam
- Lepas pindah, jangan terus dedahkan pada cahaya matahari terik.
- Biarkan 1 minggu di tempat teduh, kemudian secara beransur-ansur dedahkan pada matahari penuh.
Langkah 6: Menyiram
Jangan biar air bertakung. Siram secukupnya untuk lembapkan tanah. Waktu pagi dan petang paling sesuai.
Langkah 7: Pembajaan
- Guna baja kompos setiap 2 minggu hingga sebulan sekali.
- Boleh juga guna serbuk kulit telur, potongan kulit pisang, atau baja organik cecair seperti:
- Serum EM1
- Baja cecair ikan
- Kompos teh (kompos rendaman air)
Langkah 8: Penuaian
Kubis boleh dituai dalam tempoh 3.5 bulan ke atas selepas ditanam. Anda akan nampak bulatan kubis kemas dan padat, serta tiada bulu-bulu halus lagi. Gunakan pisau dan potong di pangkalnya.
Tip Tambahan
- Gunakan pasu minimum 30cm dalam dan lebar untuk kubis membesar sempurna.
- Pastikan pokok mendapat matahari penuh sekurang-kurangnya 6 jam sehari.
- Elakkan air bertakung kerana kubis mudah reput jika tanah terlalu lembap.
Cantik, sedap dan jimat — memang berbaloi tanam kubis sendiri di rumah. Selamat mencuba!
Kubis Dalam Pasu | Tanam Sayur Hiasan | Tip Tanaman Dapur | Sayur Berdaun Bulat | Gardening Malaysia
Sumber: Hariza Amrry | Foto: Nur Allia Zahra