Cara Tanam Pokok Kantan Dari Rizom – Tip Dari Pengusaha Sendiri
Pokok kantan merupakan tumbuhan yang banyak kegunaan dalam masakan Melayu seperti laksa, nasi kerabu dan masak lemak. Menanam sendiri pokok ini di laman rumah adalah sangat berbaloi kerana anda tidak perlu membeli di pasar dan boleh guna segar bila-bila masa. Namun, ramai yang kecewa selepas mencuba tanam dari rizom kerana pokok tidak tumbuh atau kelihatan mati selepas ditanam.
Menurut Sadam Arffain, seorang pengusaha ladang pokok kantan, ini adalah perkara biasa dan tidak perlu panik. Batang rizom yang nampak layu selepas ditanam sebenarnya sedang dalam proses pertumbuhan di bahagian bawah tanah.
Tanam Pokok Kantan Dari Rizom
Biasanya, pokok kantan ditanam menggunakan rizom, iaitu bahagian batang bawah tanah. Rizom ini boleh dibeli dari nurseri atau secara online. Selepas ditanam, batang rizom akan mula kelihatan layu dan warnanya berubah dari hijau ke coklat. Menurut Sadam, ini adalah proses semula jadi kerana tunas baru sedang terbentuk di bawah permukaan tanah.
Bila Tunas Mula Tumbuh?
- Tempoh biasa: 2 minggu hingga 1 bulan
- Jika tiada tunas selepas sebulan, barulah boleh dikira sebagai tidak menjadi
Punca Pokok Kantan Tak Tumbuh
- Disiram terlalu banyak hingga berlecak
- Tanah terlalu kering kerana tidak disiram langsung
- Menanam terlalu dalam
- Tanah tidak sesuai – terlalu padat atau tiada saliran baik
- Kebarangkalian semula jadi – daripada 10 rizom, mungkin hanya 9 hidup
Setiap rizom boleh menghasilkan sehingga empat mata tunas. Namun, tidak semua tunas akan tumbuh serentak. Ia akan muncul secara berperingkat.
Tip Tambahan:
- Gunakan tanah gembur dan berkompos untuk hasil lebih baik
- Pastikan pasu atau batas ada saliran air yang baik
- Letakkan di kawasan yang kena cahaya matahari sekurang-kurangnya separuh hari
Jadi, kalau anda tanam rizom kantan dan nampak layu – jangan buang dulu! Bersabar kerana tunas baru sedang dalam proses tumbuh. Dengan penjagaan betul dan sedikit kesabaran, anda boleh dapat pokok kantan yang subur dan berbunga di laman rumah sendiri.
Sumber: Sadam Arffain
