Cara Tanam Pokok Kunyit Dalam Karung: Jimat Ruang & Mudah Dijaga
Jika anda tinggal di kawasan rumah yang mempunyai ruang terhad seperti laman kecil atau balkoni sahaja, jangan risau! Anda masih boleh menanam pokok kunyit dengan menggunakan kaedah tanam dalam karung. Kaedah ini bukan sahaja menjimatkan ruang, tetapi juga sangat praktikal dan berkesan untuk menghasilkan kunyit yang subur, daun yang merimbun, dan hasil yang memuaskan.
Perkongsian oleh Mohammad Aziman menunjukkan cara mudah tanam pokok kunyit menggunakan karung plastik atau karung terpakai. Teknik ini sesuai untuk mereka yang ingin berkebun secara kecil-kecilan tetapi tetap mahu hasil yang berkualiti.
Bahan-Bahan Diperlukan:
- Daun kering
- Batang pisang (jika ada)
- Sisa sayur dapur
- Tanah bakar (tanah yang sudah digunakan untuk bakar daun kering)
- Anak pokok kunyit
- Karung plastik atau kertas (jenis tahan lama)
Cara-Cara Menanam:
- Isi daun kering di bahagian bawah karung. Tak perlu terlalu banyak.
- Masukkan batang pisang jika ada. Jika tiada, boleh abaikan.
- Tambahkan sisa sayur dari dapur untuk bantu kesuburan tanah.
- Isikan tanah bakar ke dalam karung sehingga sesuai untuk penanaman.
- Pindahkan anak pokok kunyit ke dalam karung dan tekan sedikit agar stabil.
Tip & Info Tambahan:
- Gunakan karung jenis kertas bertali (tahan lama hingga setahun). Karung beras biasa boleh tahan kira-kira 6 bulan – cukup untuk satu musim tanaman kunyit.
- Jika tiada karung, boleh gunakan polybag saiz 24×24.
- Letakkan karung di tempat yang mendapat cahaya matahari secara langsung. Hanya semasa semai sahaja perlukan tempat teduh.
- Siram pagi dan petang. Jika musim hujan atau tanah masih lembap, tidak perlu siram.
Waktu Tuaian:
- 5-6 bulan: Tuai kunyit muda
- 8-9 bulan: Tuai kunyit tua
Dengan kaedah ini, anda boleh menikmati hasil segar dari laman rumah sendiri. Pokok kunyit bukan sahaja mudah dijaga, malah daunnya juga boleh digunakan dalam pelbagai masakan tradisional. Cubalah tanam hari ini!
Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!