Kenapa Biji Benih Cili Tak Tumbuh? Ini Penjelasan & Tips Semaian Berjaya 🌶️
Ramai yang nak cuba tanam cili dari biji benih, tapi bila semai — tak juga tumbuh. Walaupun dah direndam dan pilih benih yang tenggelam (tanda elok), masih juga gagal. Di mana silapnya?
Azuan Abdullah, yang sering berkongsi tip pertanian dan tanaman, menjelaskan beberapa sebab utama kenapa biji benih cili gagal tumbuh. Mari kita lihat punca dan penyelesaiannya 👇
🌱 3 Punca Utama Biji Benih Cili Tak Tumbuh
1. Kualiti Benih Kurang Baik
Mungkin biji benih yang anda gunakan kadar percambahannya sangat rendah. Walaupun benih itu kelihatan elok, tapi jika kurang berkualiti, potensi untuk bercambah tetap rendah.
2. Benih Dah Lama & Cara Simpanan Salah
Biji cili sensitif terhadap tempoh simpanan dan suhu persekitaran. Kalau disimpan pada suhu bilik lebih dari 2 bulan, kadar percambahan boleh jatuh bawah 50%.
Tip: Simpan biji benih dalam peti sejuk (bukan di bahagian beku) untuk kekalkan kesegaran dan kadar tumbuh yang tinggi.
3. Teknik Semaian Tak Sesuai
Biji benih cili memang antara yang agak ‘manja’. Kalau tak kena teknik semai, memang susah nak naik. Anda boleh rendam atau tidak rendam — kedua-duanya boleh berjaya jika kena caranya.
Untuk pemula (newbie), sebaiknya guna peatmoss sebagai medium semaian. Ia lebih mesra akar dan senang dijaga berbanding cocopeat atau tanah campuran.
🔥 Tip Penting: “Heating” Tray Semaian Untuk Benih Tumbuh Sekata
Untuk dapatkan biji benih cili yang naik seragam dan serentak, gunakan teknik pembungkusan tray semaian (dipanggil “heating”).
- Caranya: Bungkus tray semaian selama 5 hari.
- Suhu dalam bungkusan akan lebih tinggi sedikit berbanding luar, bantu aktifkan biji benih yang ‘tidur’.
- Bila semua biji benih aktif serentak, anak pokok yang tumbuh akan lebih sekata dan sihat.
📌 Ringkasan – Nak Benih Cili Tumbuh Elok?
Pastikan 3 perkara asas ini dipenuhi:
- Kualiti biji benih yang baik
- Simpan biji benih dengan betul (dalam peti sejuk)
- Guna teknik semaian yang sesuai dan efektif
InsyaAllah, kalau ikut semua langkah ini, benih yang disemai akan tumbuh cun melecun!
Semoga bermanfaat untuk semua yang nak tanam cili di rumah 🏡🌶️
Sumber: Azuan Abdullah