Tanam Ubi Keledek Jepun di Laman Rumah – Jimat, Mudah & Berbaloi!
Seronok apabila rajin berbudi pada tanah dan ia mengeluarkan hasil. Walaupun ruang laman sempit, anda masih boleh bercucuk tanam jika tahu tanaman yang sesuai. Salah satu tanaman yang sangat sesuai untuk ruang terhad ialah ubi keledek Jepun.
Kalau beli ubi keledek Jepun, harganya boleh tahan mahal. Jadi, lebih jimat, berbaloi dan puas hati bila dapat tanam sendiri. Tambahan pula, anda boleh gunakan baja organik dan hasilnya bebas racun perosak.
Cara Tanam Ubi Keledek Jepun di Ruang Sempit
Ubi keledek boleh ditanam dalam pelbagai medium seperti:
- Polibeg
- Guni
- Pasu
- Tayar
- Bekas polisterin
Antara jenis ubi keledek Jepun yang sesuai untuk kaedah ini:
- Ubi Keledek Jepun Haruka Beni (isi kuning)
- Ubi Keledek Jepun Original (isi oren)
- Ubi Keledek Cameron (isi ungu)
Perkongsian Pengalaman Tanam Ubi Keledek di Rumah
Perkongsian oleh Aqella Ayda membuktikan walaupun tinggal di rumah taman, tanaman ubi keledek tetap menjadi dengan hanya menggunakan polibeg bersaiz 16×16.
“Siapa kata tanam ubi keledek Jepun kena tempat yang lapang luas? Tanam dekat rumah taman pun boleh. Selain ubi, pucuknya juga boleh dipetik seusia dua bulan. Rasanya cukup manis apabila dimasak.”
Beliau turut berkongsi bahawa sebelum ini menanam menggunakan ubi, tetapi tidak menjadi. Selepas menggunakan benih keratan dari Mohd Ijat, hasilnya memuaskan — boleh dituai selepas lebih kurang 4 bulan.
Tip Tanam Pokok Ubi Keledek Menggunakan Keratan Batang
- Gunakan keratan batang yang menjalar dan sihat.
- Tanam dalam polibeg besar. Maksimum 3 keratan per polibeg.
- Gunakan campuran tanah biasa + baja tahi ayam proses + tanah organik.
- Siram hanya jika cuaca sangat panas.
- Bila pokok mula menjalar, potong hujung batang (jangan terlalu pendek) dan letak baja siraman.
- Selepas 2 bulan, boleh mula petik pucuk untuk dimasak.
- Tempoh matang dan hasil boleh dituai selepas 3 bulan 15 hari.
Tip Tanam Pokok Ubi Keledek Menggunakan Ubi
- Gunakan ubi kecil, rendam dalam sedikit air (secara tegak atau baring).
- Simpan dalam bekas tertutup dan lembap, letak di tempat redup (contoh: tepi sinki).
- Pastikan air tidak kering dan tidak bertukar keruh/berbau. Tukar air jika perlu.
- Selepas seminggu, akar dan tunas akan muncul.
- Bila tunas ada daun, cabut dari ubi dengan perlahan (jangan patahkan).
- Rendam tunas (sulur) dalam air beberapa hari hingga keluar akar.
- Pindahkan sulur ke tanah atau cocopeat. Tanah mesti peroi dan tidak padat.
- Untuk media pasu, guna nisbah 2:1 (2 bahagian cocopeat + 1 bahagian tanah gambut/hitam).
- Letak di tempat redup dulu. Bila stabil, boleh pindahkan ke tempat lebih terang.
Kesimpulan
Menanam ubi keledek Jepun tidak semestinya memerlukan kawasan yang luas. Dengan teknik yang betul, anda boleh hasilkan tanaman subur di laman rumah sendiri. Selain menjimatkan, hasil tanaman juga lebih sihat dan bebas bahan kimia. Selamat mencuba!