Tip Tanam Kobis Besar & Organik di Rumah
Tak rugi berbudi pada tanah. Lebih seronok bila tanaman mengeluarkan hasilnya dan boleh digunakan untuk masakan harian seperti sayur kobis. Menanam sendiri menjimatkan belanja dapur dan sayuran lebih organik tanpa racun serangga.
Tip Tanam Kobis Besar & Organik
Perkongsian daripada Haisya Ammar ini boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan kobis yang besar dan sihat secara organik:
- Medium Tanah: Guna tanah hitam dicampur dengan cocopeat supaya aliran air dan udara mudah. Elakkan tanah terlalu basah kerana batang mudah lembik dan rosak.
- Bekas Tanaman: Gunakan pasu besar, tayar atau tanam terus ke tanah. Semakin besar bekas, semakin besar pokok kobis.
- Baja Organik: Siram seminggu sekali dengan baja organik seperti hampas teh & kopi, kulit bawang, baja tahi ayam dan kulit telur.
- Penyiraman: Siram 2 kali sehari pagi & petang. Pastikan air sampai ke tanah dengan selak daun atau terus letak paip di dalam pasu.
- Pencahayaan: Pokok kobis perlukan cahaya matahari pagi & petang. Pokok akan layu waktu tengah hari tetapi akan segar semula petang selepas disiram.
- Buang Daun Kuning: Buang daun bawah yang kuning atau rosak supaya proses fotosintesis lebih efisien.
- Racun Organik: Gunakan racun organik untuk kawal ulat, siput babi atau perosak lain. Selalu periksa bawah daun kerana siput suka bersembunyi.
- Asap Kebun: Kalau rajin, bakar bekas telur pada pagi atau petang untuk halau belalang, lalat buah dan serangga perosak lain.
Ikut tip ini, insyaAllah kobis yang ditanam akan membesar dengan baik, sihat dan organik. Selamat mencuba!
Sumber: Haisya Ammar