Tip Tanam Pokok Betik Supaya Berbuah Rendah & Mudah Dipetik

 



Tip Tanam Pokok Betik Supaya Berbuah Rendah & Mudah Dipetik

Pernah tak tanam pokok betik, tapi pokoknya tinggi mencanak sampai kena guna galah untuk petik buah? Sebenarnya ada cara mudah untuk tanam pokok betik supaya ia berbuah rendah dan senang dipetik hanya dengan tangan. Tak perlu panjat atau bersusah payah lagi!

Ikuti perkongsian Zaiton Hamid ini untuk dapatkan pokok betik yang pendek, subur dan berbuah lebat.

Cara Tanam Anak Pokok & Tip Elak Pokok Betik Terlalu Tinggi

  1. Pindahkan anak pokok ke tempat yang sesuai – pilih kawasan yang cukup cahaya dan tanah yang subur.
  2. Pilih anak pokok betina untuk pastikan pokok akan berbuah. Pokok jantan hanya menghasilkan bunga sahaja tanpa buah.
  3. Cara bezakan anak pokok jantan dan betina:
    • Akar memanjang ke bawah: Pokok jantan (tak perlu tanam)
    • Akar berselerak: Pokok betina (boleh tanam)
  4. Siram 2 kali sehari – pagi dan petang. Tapi pastikan air tidak bertakung kerana boleh menyebabkan akar reput dan pokok mati.
  5. Tip penting: Semasa menanam anak benih, tanam batang pokok hampir keseluruhan ke dalam tanah. Tinggalkan sedikit sahaja bahagian batang di atas permukaan tanah. Ini akan bantu pokok membesar rendah dan menghasilkan buah dekat dengan tanah.
  6. Alternatif: Gunakan benih pokok betik sekaki – jenis betik ini memang pendek batangnya tetapi menghasilkan buah yang lebat dan besar. Buahnya lebih lonjong dan panjang berbanding betik biasa. Benih boleh dibeli di nurseri.

Cara Pilih Biji Betik Betina Untuk Semai

Kalau nak tanam dari biji betik sendiri, pastikan biji yang disemai adalah dari pokok betina. Ini caranya:

  1. Ambil biji betik segar dari buah yang masak.
  2. Rendam dalam gelas berisi air dan kacau.
  3. Buang biji yang terapung – ini biasanya biji jantan.
  4. Ambil biji yang tenggelam, toskan dan jemur di bawah panas matahari sehingga kering sebelum disemai.

Dengan teknik ini, anda boleh tanam pokok betik yang mudah dijaga, tidak terlalu tinggi dan menghasilkan buah yang banyak serta mudah dipetik.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Sumber: Zaiton Hamid