Cara Betul Tanam Terung dalam Pasu: Tips Buah Lebat di Rumah Taman
Menanam terung dalam pasu merupakan pilihan terbaik bagi yang tinggal di rumah taman dengan ruang tanah terhad. Jika kaedah penanaman dilakukan dengan tepat, pokok terung akan menghasilkan buah yang lebat dan elok.
1. Penyediaan Bekas & Medium
Gunakan pasu yang bersesuaian dan medium tanah campuran seperti:
- Tanah hitam sawit
- Tanah merah bakar
- Sekam mentah dan bakar dengan nisbah 2:1:1
Gaulkan dengan dua sudu makan baja organik (contoh: baja nlegrow) dan siram setiap hari sehingga tiba hari pemindahan anak pokok. Ini berfungsi sebagai baja lapik untuk “menghidupkan tanah” melalui mikrob yang terkandung dalam baja.
2. Penanaman Pokok
Setelah anak pokok berumur 3 minggu, pindahkan ke dalam pasu. Gaulkan tanah dan tanam anak pokok tanpa menambah baja tambahan kerana baja lapik sudah tersedia.
3. Penjagaan dan Pembajaan
Dua minggu selepas tanam (HST), beri baja tambahan sebanyak dua sudu makan, dan ulang setiap dua minggu. Gunakan baja organik dan lakukan semburan organik setiap tiga hari. Penggunaan cuka kayu secara berselang-seli juga membantu kesihatan pokok. Sebagai booster, boleh gunakan campuran yakult, telur ayam, dan sedikit molasses untuk aroma yang lebih harum.
4. Pemangkasan
Lakukan pemangkasan ringan untuk membuang daun lebar agar cabang baru dan putik bunga cepat keluar. Daun lebar yang berlebihan boleh menghalang pertumbuhan bunga.
5. Kawalan Lalat Buah
Serangan lalat buah menyebabkan buah berlubang. Gunakan perangkap lalat buah untuk mengawal serangan, elakkan semburan kimia.
6. Siraman
Siram dua kali sehari (pagi & petang). Jika hujan, siram hanya jika medium kelihatan kering. Pastikan medium sentiasa lembab supaya daun tidak layu. Sistem siraman automatik boleh digunakan jika tersedia.
7. Kebersihan
Buang daun yang dipangkas atau gugur jauh dari pasu untuk mencegah penyakit. Pastikan kawasan sekitar pasu bersih untuk pokok lebih sihat dan cantik dipandang.
Dengan kaedah ini, menanam terung di tepi rumah tetap boleh menghasilkan buah yang banyak dan berkualiti. Selamat mencuba!
Sumber/Foto: Mohd Amri