Kegunaan Serbuk Kunyit Untuk Tanaman — Elak Semut & Lindungi Dahan
Serbuk kunyit bukan sahaja popular dalam masakan, malah ia boleh digunakan sebagai bahan semula jadi untuk menjaga tanaman anda. Tanaman tertentu memang mudah dihurung semut dan serangga perosak. Dengan menggunakan serbuk kunyit, anda boleh mengelakkan masalah ini tanpa perlu bergantung pada racun kimia.
1. Racun Serangga Semula Jadi
Serbuk kunyit berfungsi sebagai “racun semulajadi” untuk serangga dan semut. Bau kunyit yang kuat membuatkan semut enggan mendekati tanaman anda. Cara penggunaannya mudah sahaja:
- Taburkan serbuk kunyit di pangkal pokok, atas tanah, dan keliling tanaman.
- Pastikan serbuk menutupi kawasan yang sering dilalui semut.
Kaedah ini selamat dan mesra alam, berbeza dengan penggunaan racun kimia yang boleh merosakkan tanah dan tanaman.
2. Kurangkan Rasa Kegatalan Digigit Semut
Semasa berkebun, mungkin anda akan digigit semut atau serangga lain. Serbuk kunyit boleh membantu melegakan rasa kegatalan:
- Campurkan sedikit serbuk kunyit dengan air hingga menjadi pes.
- Sapu pes ini pada kawasan yang digigit.
Pes kunyit mudah diserap oleh kulit dan mampu mengurangkan kegatalan dengan cepat.
3. Lindungi Dahan Yang Dicantas
Setiap kali melakukan cantasan pada pokok, bahagian dalaman dahan terdedah dan mudah rosak. Serbuk kunyit boleh membantu melindungi bahagian ini:
- Campurkan serbuk kunyit dengan sedikit air untuk membuat pes.
- Sapu rata pada bahagian dahan yang dicantas.
Ini bukan sahaja mengelakkan dahan daripada rosak, malah membantu pokok sembuh lebih cepat.
Dengan hanya menggunakan serbuk kunyit, anda boleh menjaga tanaman dari serangga perosak, mengurangkan risiko kegatalan, dan melindungi pokok dari kerosakan. Mudah, semula jadi, dan berkesan!
Sumber: Cherie Sis Noriza