Cara Matikan Pokok Besar Tanpa Perlu Tebang – Jimat Kos & Lebih Selamat
Pokok besar dan tinggi yang tumbuh tanpa dirancang di sekitar rumah memang nampak menghijau, tapi bila dah terlalu tinggi atau menjalar ke bumbung, ia boleh jadi ancaman. Dahan boleh patah bila ribut, akar pula boleh merosakkan struktur rumah atau paip bawah tanah.
Biasanya untuk selesaikan masalah ni, kita akan upah orang untuk tebang. Tapi kosnya boleh cecah RM500 hingga RM1000 untuk satu pokok – agak mahal bagi sesetengah orang. Kalau anda nak cara lebih jimat, boleh cuba kaedah ini untuk matikan pokok besar tanpa perlu tebang.
Kaedah ini dikongsi oleh Ejatt Jayy, dan ia terbukti berkesan. Pokok akan mati perlahan-lahan dan mereput sendiri dengan selamat.
Langkah-Langkah Matikan Pokok Besar Tanpa Tebang
1. Buat Lubang Pada Batang Pokok
Gunakan cordless drill atau gerudi tangan untuk buat 3–4 lubang pada batang pokok. Lubang ini perlu dibuat atas sedikit dari pangkal dan pastikan cukup dalam (2–3 inci masuk ke dalam batang).
2. Masukkan Racun Pokok
Gunakan syringe atau picagari untuk masukkan racun ke dalam setiap lubang. Antara racun yang boleh digunakan ialah:
- Tri-Ester 32
- Kenlon
- CH Triclopyr
- Pure Glyphosate Isopropylamine (seperti digunakan oleh Ejatt Jayy)
Semua racun ini boleh didapati di Shopee atau kedai pertanian.
3. Tutup Lubang Dengan Tanah Liat
Selepas racun dimasukkan, tutup lubang dengan tanah liat atau tanah biasa. Ini untuk elakkan air masuk dan bantu serapan racun ke dalam sistem pokok.
4. Tanda-Tanda Pokok Akan Mati
Dalam masa seminggu, anda akan mula nampak kesan:
- Daun pokok mula menguning dan luruh
- Dahan kecil akan mula kering dan reput
5. Dalam Tiga Minggu, Pokok Akan Botak & Reput
Jika dilakukan dengan betul, pokok akan ‘botak’ dalam masa 3 minggu. Proses pereputan akan berlaku secara semula jadi. Bila cukup masa, pokok boleh dipotong sedikit demi sedikit atau dibiarkan reput terus jika tidak mengganggu.
Kelebihan Kaedah Ini
- ✅ Tidak perlu sewa kren atau bayar upah tebang mahal
- ✅ Selamat jika pokok dekat rumah atau bangunan
- ✅ Pokok mati dari dalam, tak tumbang secara mengejut
Nota: Kaedah ini lebih sesuai untuk pokok besar yang tidak berada dalam kawasan awam atau terlalu dekat dengan talian elektrik. Jika risiko tinggi, lebih baik serahkan pada pakar.
Sumber: Ejatt Jayy (TikTok)