Cara Tanam Pokok Kesum Cepat Subur, Hasil Nampak Seawal 24 Jam!
Pokok kesum adalah antara tanaman dapur yang wajib ada di rumah kerana sering digunakan dalam masakan seperti asam pedas, laksa, dan pelbagai hidangan berkuah. Namun, tak semua yang mencuba berjaya menanam pokok ini dengan subur, sama ada dalam air atau tanah.
Jika anda pernah cuba tanam pokok kesum tapi tak menjadi, kali ini boleh cuba kaedah yang dikongsikan oleh Wan Mohd Naziran. Menariknya, dengan teknik ini, pokok kesum menunjukkan tanda hidup hanya dalam tempoh kurang daripada 24 jam!
Kaedah Tanam Pokok Kesum Dalam Air + Tanah
Berikut adalah langkah-langkah mudah yang boleh anda ikuti:
Bahan & Peralatan:
- Bekas yang boleh menakung air (baldi kecil, bekas plastik, pasu tanpa lubang bawah)
- Tanah subur
- Air paip (dibiarkan semalaman)
- Keratan pucuk kesum (5-6 helai daun setiap keratan)
Cara Penanaman:
- Isi tanah separuh penuh ke dalam bekas yang menakung air.
- Tambah air hingga paras tanah tenggelam sepenuhnya. Jika guna air paip, biar dahulu 24 jam untuk hilangkan klorin.
- Pada jam 5 petang, ambil keratan pucuk kesum yang mempunyai 5-6 helai daun.
- Cucuk keratan ke dalam tanah sehingga hanya bahagian pucuk yang kelihatan di atas permukaan air.
Hasil Selepas Penanaman:
- Jam 10 malam (5 jam selepas semai): Pucuk kesum masih segar dan menunjukkan tanda hidup.
- Jam 6 pagi keesokan hari (13 jam selepas semai): Daun mula segar dan menegak – tanda akar mula terbentuk.
Tip Penjagaan:
- Pembajaan: Setiap 2 minggu sekali. Gunakan apa sahaja jenis baja yang dilarutkan dalam air.
- Siram jika perlu: Pastikan tanah sentiasa lembap, terutamanya jika letak di tempat panas.
- Letak di kawasan separa teduh: Pokok kesum suka tempat lembap dan redup, tapi masih perlukan cahaya.
Kaedah ini sangat sesuai untuk mereka yang tinggal di kawasan rumah bandar dengan ruang terhad. Anda boleh guna bekas terpakai dan hasilnya cukup untuk kegunaan sendiri di dapur.
Selamat mencuba, dan semoga berjaya menanam pokok kesum yang subur!
Sumber: Wan Mohd Naziran via Facebook Kebun Bandar: Jom Tanam Sendiri
