Cara Mudah Tanam Jagung di Rumah Supaya Penuh Isi & Berbuah Lebat
Ramai yang cuba tanam jagung di rumah tapi kecewa apabila dituai, hasilnya tak penuh atau isinya tak menjadi. Sebenarnya, ada beberapa teknik penting yang perlu dilakukan untuk dapatkan hasil yang puas hati.
Berikut ialah panduan mudah yang dikongsi oleh Farah Aisyah Ahmad berdasarkan pengalamannya selepas lima kali menanam jagung sendiri.
Langkah Mudah Tanam Jagung di Rumah:
- Bina sedikit batas (tak perlu besar, cukup sekadar semampunya).
- Buat lubang sedalam 2cm dengan jarak 1 kaki antara lubang.
- Setiap lubang masukkan 2 biji benih.
- Kambus dengan tanah hitam selepas letak benih.
- Benih yang digunakan: Bicolor corn jenama Grabbit – dibeli dari kedai Eco.
3 Perkara Penting Ketika Menanam Jagung
1. Air
Siram dua kali sehari – pagi dan petang. Anggaran 250ml air untuk setiap lubang.
2. Baja
- Mulakan pembajaan pada hari ke-10 selepas semai.
- Amalkan pembajaan seminggu sekali secara konsisten.
- Bila bunga jantan mula keluar, tukar kepada baja buah.
3. Pendebungaan Manual
Untuk hasil yang lebih baik (terutama jika tanam dalam kuantiti kecil), lakukan pendebungaan manual.
Cara pendebungaan manual:
- Bila bunga jantan mengeluarkan debu, petik setangkai bunga jantan.
- Golekkan atau oleskan debunga tadi pada bunga betina yang terletak di celah daun.
Waktu terbaik: Antara jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang, ketika cuaca panas – ini akan bantu debunga melekat dengan lebih baik.
Perbezaan Bunga Jantan & Betina:
- Bunga jantan: Terletak di bahagian atas pokok jagung.
- Bunga betina: Terletak di celah daun, dan inilah yang akan menjadi buah jagung.
Dengan teknik yang betul, pokok jagung akan lebih subur dan hasilnya lebih padat dan manis. Pendebungaan manual sangat disarankan jika anda hanya tanam sedikit pokok.
Sumber: Farah Aisyah Ahmad